IPOH– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak memperoleh RM 58,750 menerusi hasil lelongan 29 kenderaan sita tidak dituntut oleh pemilik dalam lelongan awam siri kedua tahun 2018 di JPJ Perak di sini pada Rabu.

Menurut Pengarahnya, Mohd Zawawi Zakaria, lelongan itu membabitkan 30 buah kenderaan iaitu 18 buah motosikal, 8 kereta, tiga lori dan sebuah bas.

Ujarnya, lelongan kali ini mencatatkan pungutan yang lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya berikutan ada kenderaan yang menjadi rebutan dan dijual dengan harga lebih tinggi.

“Kalau ikutkan statistik 2017 dan 2018, lelongan kali ini kita dapat pungut hasil paling tinggi, kalau 2017 siri pertama hanya RM 28,300 (27 buah kenderaan), siri kedua RM 12,080 (22 buah kenderaan).

“Untuk tahun 2018 siri pertama berjaya pungut RM 61,520 (61 buah kenderaan), dan hari ini walaupun kita hanya lelong 30 buah kenderaan dan satu tidak tidak terjual tapi dapat pungut RM 58,750.

“Mungkin ada model-model yang pembida minat contoh RXZ dan Yamaha 125 tadi, kita ada bas dan lori di mana harganya lebih tinggi dari harga motor dan kereta,” kata Mohd Zawawi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lelongan awam siri kedua tahun 2018 di Ibu Pejabat JPJ Perak.

Katanya, kebiasaannya kenderaan sita yang dilelong terdiri dari kesalahan tiada cukai jalan serta insurans kenderaan selain pemilik tidak menuntut kenderaan.

“Untuk tahun 2019 kita akan adakan dua siri lelongan awam yang berbentuk begini, cuma bilangannya kita tidak dapat pasikan lagi dan akan diumumkan kemudian,” katanya.