TAIPING – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak memperoleh RM61,520 hasil lelongan 62 kenderaan sita tidak dituntut pemiliknya dalam lelongan awam siri pertama tahun ini di pekarangan JPJ Taiping, di sini hari ini.

Pengarahnya, Mohd Zawawi Zakaria berkata, lelongan tersebut membabitkan 58 buah motosikal, tiga kereta dan sebuah van, dengan 57 daripada kenderaan itu boleh dilesenkan semula.

Menurutnya, sebuah van Nissan Ur-Van tahun 2010 antara kenderaan paling mahal dilelong dengan harga RM25,000 manakala motosikal Demak tahun 1998 tidak boleh dilesenkan, dibeli dengan harga paling rendah iaitu RM50.

“Seramai 48 pembida termasuk dari negeri lain menyertai proses lelongan yang bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi.

“Dalam lelongan tadi, sejumlah lima kenderaan tidak boleh dilesenkan dan dilelong bagi tujuan menjadi alat ganti.

“Pada lelongan yang dianjurkan sepanjang 2017, kita berjaya melelong 47 kenderaan meliputi 33 motosikal, 10 kereta, empat van , sebuah Land Rover dan sebuah lori kecil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata, kesemua kenderaan itu disita ketika operasi JPJ dan pemiliknya didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pihaknya tidak melelong kenderaan sewenang-wenangnya kerana pemilik diberi tempoh 90 hari untuk menuntut dan menyelesaikan masalah kenderaan serta tambahan 30 hari lagi sebagai peringatan, sebelum tindakan sita diambil.

“Pihak kami menjangkakan siri kedua lelongan awam akan diadakan pada hujung tahun ini di perkarangan JPJ Ipoh, Perak bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Cemerlang(KPI) dua kali setahun ditetapkan.

“Jumlah kehadiran pembida juga amat memberangsangkan dan mereka turut memberi kerjasama amat baik sepanjang proses bidaan dijalankan,”katanya – sinar