GUNUNG SEMANGGOL-Seramai 411 anggota membabitkan 125 pasukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak ditugaskan bagi membuat pemantauan dan rondaan di lebuhraya dan jalan persekutuan di negeri itu.

Pasukan itu digerakkan sepanjang Op Selamat ke-14 yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Ia termasuk menambah bilangan anggotanya yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres untuk bertindak terhadap pemandu yang gagal mematuhi peraturan sepanjang Op Selamat dijalankan.

Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas dan memaklumkan operasi penyamaran itu sebagai peringatan supaya para pemandu, memandu secara berhemahbagi mengurangkan kemalangan.

“Kita telah menempatkan anggota secara statik di laluan terowong Menora dari jam 8 pagi hingga 6 petang untuk tujuan pemantauan dan kesedaran bahawa kita sentiasa bagi mengawal trafik.

“Penyamaran juga telah dan sedang dibuat dari semasa ke semas untuk memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya seperti yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stesen JPJ di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Gunung Semanggol, Perak.

Dalam pada itu, ujar Mohd Zawawi, pemantauan dan rondaan akan dilakukan di lebuhraya sepanjang 224 kilometer dari Tanjung Malim ke Alor Pongsu yang membabitkan 30 anggotanya.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi penguatkuasan dan rondaan, enam stesen penguatkuasa sementara di wujudkan di beberapa Plaza Tol antaranya Plaza Tol Slim River arah Utara, Plaza Tol Tapah arah utara, Plaza Tol Kuala Kangsar, dan Plaza Tol Alor Pongsu.