KUALA KANGSAR: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berjaya mematahkan cubaan mencuri hasil hutan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berhampiran PLKN Terkop, Lintang, Lasah hari ini.

Menurut Pengarah JPNPk, Datuk Mohamed Zin Yusop, kesemua kayu yang dirampas dan disita dengan nilai anggaran pasaran RM 20,000 itu seterusnya dibawa ke stor rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat JPNPk.

“Pada Rabu, Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar, JPNPk telah menerima satu aduan berkaitan aktiviti mencuri hasil hutan berhampiran PLKN Terkop, Lintang, Lasah.

“Pihak terbabit dipercayai akan memindah kayu keluar kayu berkenaan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, tiada sebarang jentera dan individu yang disyaki berada di lokasi semasa serbuan dijalankan.

“Sehubungan dengan itu, satu pasukan penguatkuasa, Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar telah menjalankan kerja-kerja intipan dan risikan di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pengambilan hasil hutan tersebut.

“Hasil dari risikan yang diperolehi, pasukan penguatkuasa telah menemui satu tunggul pokok Meranti Tembaga bersama sejumlah 209 keping kayu yang telah ditukar bentuk menjadi kayu sedia ada pelbagai saiz di dalam Kompartmen 3, Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sg. Siput berhubung kes tersebut dan JPNPk akan menyiasat dan menangkap suspek-suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket ini kerana telah mencuri hasil hutan negara.

Ujarnya, kesalahan yang boleh didakwa ke atas suspek yang disyaki melakukan aktiviti ini ialah di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Di mana seksyen ini menyatakan mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun.