LUMUT: Gerak kerja Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) untuk memperkukuh jentera parti melalui pendekatan komuniti bagi persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sudah mencapai 80 peratus sasarannya.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, sejak pelancarannya April lepas oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai kejayaan dan maklum balas positif yang telah diterima.

Katanya, manfaat sebenar program JR Plus terbukti apabila pihaknya boleh melaksanakan penyediaan laporan tepat berdasarkan bancian yang dilakukan oleh gabungan semua sayap dan komponen parti.

“Kini kita boleh melakukan ‘check and balance’ dalam laporan dengan keputusan yang diperoleh lebih tepat dan positif termasuklah Melayu dan bukan Melayu. Bancian telah dilakukan sejak sekian lama oleh Wanita UMNO malah, kali ini kita libatkan Puteri dan Pemuda.

“Suka saya nyatakan, kesan JR Plus ialah koordinasi kita menjadi lebih sistematik, gerak kerja komprehensif dan berstruktur untuk mendapatkan hasil lebih realisitik. Tidak dinafikan, ini adalah langkah terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita Bahagian Lumut di sini, hari ini.

Khairul Azwan berkata, program Jalinan Rakyat menjadi tonggak kekuatan UMNO melalui gerak kerja Wanita UMNO yang turun padang mendengar masalah rakyat serta mendekati pengundi berpotensi.

Katanya, hasil kerjasama semua sayap parti, JR Plus berjaya menjejaki pengundi yang sebelum ini tidak pernah diketahui dan mendekati mereka dengan sebaik-baiknya.

“Bila kita menjejaki pengundi, kita tahu ada kategori atas pagar dan sebagainya, terpulanglah kepada kita untuk mengubah persepsi mereka, meyakinkan mereka.

“Sama ada mereka sokong atau tidak, bukan menjadi persoalan, yang penting kita berusaha memenangi hati mereka semula, bukan bermaksud kita tinggalkan begitu sahaja,” katanya lagi.

Tambahnya, kekuatan JR Plus adalah penglibatan golongan muda daripada Puteri dan Pemuda yang mudah mendekati belia yang mempunyai kekangan sebelum ini.

“Bila Wanita mendekati mereka mungkin disebabkan faktor usia mereka agak keberatan tetapi apabila kita gabungkan sayap parti, anak muda lebih tertarik kalau rakan, sebaya dan berkongsi apa ada di hati.

“Mereka mempunyai pemahaman sama dalam sesetengah isu, jadi ekspresi mereka lebih mudah,” katanya lagi.