Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH:Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berjaya mematahkan dua percubaan sindiket dadah dengan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 413,869.

Serbuan polis di dua lokasi berasingan berhasil dengan penahanan dua pekerja kelab malam termasuk seorang wanita di Seri Manjung dan seorang lelaki di Parit Buntar, Kerian.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata serbuan pertama pada Ahad lalu adalah hasil risikan daripada pihak JSJN IPD Manjung mengenai aktiviti pengedaran dadah untuk tujuan hiburan di sekitar daerah itu.

“Kita memberkas seorang lelaki dan wanita yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pub, masing-masing berusia 45 dan 29 tahun di sebuah pusat hiburan di Seri Manjung di mana kita telah menemui pelbagai jenis pil khayal.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas 16,000 biji pil Eramin dan 2,100 pil Esctasy serta 446.54 gram dadah jenis Ketamine,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media IPK pada pagi Selasa.

Jelasnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka adalah negatif.

Ujarnya, mereka kini ditahan reman selama seminggu bermula 14 Mei lepas bagi tujuan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasnan berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat kemungkinan penglibatan pemilik pub berkenaan dalam aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan di daerah itu.

Dalam pada itu, polis turut menahan pemilik kedai cuci kereta berusia 52 di Jalan Merbuk, Parit Buntar yang dipercayai terlibat dalam sekumpulan geng berenam dalam sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang-Parit Buntar.

Sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu, kata beliau.

“Turut ditemui bersama-sama lelaki itu ialah 3.2 kg dadah jenis heroin gred III bernilai RM80,275 selain menyita sebuah motosikal. Heroin yang dirampas itu cukup untuk kegunaan 10,000 orang penagih,” katanya lagi.

Katanya, suspek memiliki empat rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah bagaimanapun saringan ujian awal air kencing suspek adalah negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan suspek telah ditahan reman selama seminggu bermula 14 Mei bagi membantu siasatan,” katanya.