KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Kangsar mengambil alternatif lain dengan menjual buah durian secara atas talian mulai Isnin depan berikutan penutupan ladang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri ladang milik MARDI ditutup atas saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun penjualan hasil ladang masih lagi dijalankan.

“Kita guna platform atas talian dimana pembeli boleh membuat tempahan awal dan ambil tempahan di dua lokasi di MARDI RTC Gopeng dan Laman Tiba, MARDI Kuala Kangsar.

“Walaupun penjualan tidak seperti tahun-tahun lalu, keselamatan rakyat adalah lebih penting berbanding keuntungan yang diperoleh,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Duriotourism Kuala Kangsar di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah MARDI Perak, Daud Endam.

Duriotourism Kuala Kangsar merupakan pusat agropelancongan di Malaysia yang dibuka pada Disember 2017.

Di sini pengunjung boleh melawat ladang dengan menaiki trem dan mengetahui selok belok tentang penanaman durian di samping menikmati durian dengan bayaran tertentu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr. Johari Saripa berkata, pihaknya menawarkan pelbagai jenis durian Kahwin dan klon bermutu seperti MDUR 78, MDUR 79, MDUR 88 dan D24.

“Kita telah melakukan kacukan secara konventional dengan D10, kita telah menumui tiga hibrid berkualiti, MDUR 78, 79 dan 88.

“Kita dapat lihat MDUR 88 mendapat permintaan tinggi dengan kualiti isi yang menarik dengan warna keemasan dan peratusan isi yang lebih tinggi.

“MDUR 88 ini saya kira boleh diketengahkan kerana ia tidak asing lagi buat penggemar durian dan mempunyai kualiti yang tinggi dan sangat digemari oleh orang ramai,”katanya.

Ujarnya lagi, kebergantungan terhadap satu jenis durian dalam pasaran seperti Durian Musang King memberi risiko yang tinggi kerana durian tersebut memerlukan penjagaan rapi.

Tempahan atas talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.agrobazaar.com.my atau muat turun aplikasi bazaaronline di Playstore atau App Store.