Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencapai prestasi memberangsangkan dengan catatan nilai jualan RM28 juta hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, hasil jualan itu disumbangkan 372 usahawan yang melibatkan pembukaan 418 gerai menjual buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim selain buah-buahan import.

3eadb22e-180a-4fd5-8896-7f8588ca7dec

Menurut beliau, usaha itu merupakan salah satu inisiatif dan peluang untuk mengukuhkan ekonomi golongan sasar selain menghapuskan manipulasi harga orang tengah yang berlaku sebelum ini.

“Justeru itu, bagi membendung perkara tersebut berlaku dan merealisasikan hasrat meningkatkan ekonomi rakyat, FAMA juga memutuskan untuk melahirkan 25 usahawan baharu dan gerai baharu di bawah program GBBS di seluruh negara tahun ini selepas pulangan yang diraih memberangsangkan pada tahun 2016,” katanya.

d3c79e84-6203-4aaf-9127-c0c425b24ecd

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melaksanakan lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad ke GBBS Selabak di sini pada Khamis.

Program tersebut merupakan salah satu sisipan aktiviti bersempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak selama lima hari yang akan berakhir Sabtu ini.

31e19ed7-36f9-4adb-94fb-d26e29f79326

Badruddin berkata, setakat tahun lepas usahawan GBBS FAMA mencatat purata nilai jualan tahunan terkumpul bernilai RM190 juta.

Sehubungan itu, katanya, FAMA juga dalam usaha menaik taraf secara berperingkat di semua 418 GBBS sedia ada selain meminta kerajaan negeri menyediakan tapak-tapak yang sesuai untuk membina GBBS baharu dengan kosnya ditanggung oleh pihaknya.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai Perak, Badruddin berkata terdapat 30 usahawan FAMA menjalankan perniagaan buah-buahan di 33 GBBS yang menghasilkan nilai jualan lebih RM2 juta dalam tempoh sehingga Mac tahun ini sementara pada tahun lepas mereka mencatat jualan RM22.422 juta bagi tempoh sama.

Menerusi angka jualan memberangsangkan pada tahun lalu, katanya, pencapaian usahawan GBBS Perak boleh dibanggakan berikutan jualan bagi negeri itu berada di tiga terbaik dibelakang Kedah (RM27.8 juta) dan Pahang (RM22.9 juta).

Projek GBBS telah bermula sejak April 2006 yang mempunyai objektif memperluaskan ruang pasaran khususnya buah-buahan tempatan selain mengatasi masalah lambakan buah-buahan supaya pemilik kebun dapat memasarkan sendiri hasil mereka terus kepada pengguna.