BAGAN DATUK: Program Jualan Sentuhan Rakyat, yang kini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di Semenanjung, diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program berkenaan yang menawarkan harga barangan keperluan harian lebih rendah daripada harga pasaran, adalah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan bebanan rakyat berhadapan kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan akan memperbanyak lagi program ini terutama di Sabah dan Sarawak, lebih banyak lagi di Semenanjung,” katanya berucap pada Karnival Jualan Sentuhan Rakyat di pekarangan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di Simpang Tiga, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ketika ini, program berkenaan sudah diadakan di negeri di Semenanjung dan Sabah, tetapi belum dibuat di Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata rakyat perlu diberi peluang menikmati harga barangan yang murah atau dijual pada harga munasabah.

Sementara itu, program berkenaan menawarkan barang keperluan harian yang dijual lebih murah antara lima peratus hingga 50 peratus daripada harga pasaran.

Ahmad Zahid turut melelong beberapa barangan yang sudah diberi diskaun sebelum itu pada harga lebih murah.

Antaranya, daging lembu segar yang dijual pada harga RM20 sekilogram (kg) kepada RM10 berbanding harga pasaran sekitar RM30 dan beras 10 kg daripada RM22 sekampit kepada RM10 sekampit berbanding harga pasaran RM26.

Kira-kira 3,000 penduduk sekitar daerah Bagan Datuk mengunjungi karnival itu, yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari – berita harian