IPOH: Pengendali pasukan Perak, Mehmed Durakovic mengakui menjuarai Piala Malaysia musim ini bukan tugas mudah namun ia bukan halangan untuk pemain menampilkan persembahan terbaik dalam merealisasikan sasaran tersebut.

Beliau berkata, jika muncul juara, ia merupakan satu bonus kerana skuad The Bos Gaurus akan meraih slot automatik ke kejohanan Piala AFC yang akan berlangsung pada musim depan.

“Ia sudah pasti bukan satu tugas mudah kerana semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia akan cuba bermatian-matian untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.

“Saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kita berjaya menjadi juara dan merebut slot automatik ke Piala AFC. Jika berjaya ia satu kejayaan besar buat kita,” katanya pada sidang media di Fitness Life Style, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis skuad The Bos Gaurus mampu menjulang kejuaraan Piala Malaysia sekali gus mengulangi pencapaian sama pada 2018.

Sementara itu, ketua pasukan Shahrul Saad berkata, kejayaan menjuarai Piala Malaysia akan dapat menebus kegagalan dirinya dan rakan sepasukan untuk meraih sasaran muncul naib juara Liga Super selepas tewas di tangan Kedah 3-2 pada 11 Okt lalu.

“Bagaimanapun saya tetap positif dan fokus untuk beri komitmen 100 peratus untuk Piala Malaysia. Saya juga harap semua pemain akan beri tumpuan yang sama, lupakan kekecewaan di Liga Super dan bangkit untuk pamerkan aksi terbaik,” katanya.

Mengulas format kalah mati dipertandingkan pada kejohanan kali ini, katanya, ia merupakan cabaran besar dan memberi peluang sama rata kepada semua pasukan untuk menjulang piala berkenaan.

“Nak atau tidak setiap pasukan kena harunginya dan saya harap Perak akan rebut peluang ini untuk muncul juara pada kali ini,” katanya.