GOPENG: Sebutir bom tangan lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di kawasan dusun buah-buahan dan sayur-sayuran di Jalan Kampung Dusun Seribu, Kampung Sg. Itek dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, hasil siasatan mendapati bom tangan itu dijumpai di kawasan dusun yang sudah diusahakan pemilik tanah itu sejak empat tahun lepas.

“Kira-kira jam 10.10 pagi, pihak polis dari Balai Polis Gopeng terima panggilan telefon dari orang awam memaklumkan ada terjumpa satu objek disyaki bom tangan lama.

“Menurut laporan itu, anak pemilik tanah sedang memotong rumput pada jam 9.30 pagi di kawasan tersebut dan terkena serta menjumpai bom lama, lalu terus menghubungi Balai Polis Gopeng untuk tindakan lanjut” katanya.

Hasron berkata, susulan itu Unit Pemusnah Bom (UPB) darippada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan UPB IPD Tapah tiba di lokasi pada jam 2 petang.Seterusnya UPB daripada IPK Perak mengesahkan bom tangan itu adalah jenis ‘hand grenade fuzes’ di mana keadaan fizikal telah berkarat.

“Bom berukuran 11cm (panjang) dan 21cm (ukur lilit), bom itu telah dipindahkan ke kawasan tanah lapang di Kampung Tersusun Baru, Sungai Itek untuk dimusnahkan.

“Bom itu telah diletupkan pada jam 2.50 petang setelah mengambil kira aspek keselamatan dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dalam proses tersebut,” katanya.