KOTA BHARU: CUEPACS berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat untuk membincangkan lima tuntutan termasuk kenaikan gaji dan pemendekan kenaikan pangkat ‘time based’ yang belum dilaksanakan walaupun sudah diumumkan kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat, berkata surat untuk mengadakan pertemuan itu sudah dihantar pada Mac lalu, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

“Lima tuntutan ini sudah diumumkan kerajaan namun sehingga kini ia belum dapat dilaksanakan. Justeru kita merasakan ia tidak adil kepada kakitangan kerajaan.

“CUEPACS memohon lima tuntutan berkenaan dilaksanakan dengan segera. Disebabkan itu kita mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penghargaan kepada barisan hadapan menangani pandemik COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Lima tuntutan itu termasuk kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat ‘time based’ kali kedua yang dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018, selain pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56.

Terdahulu, mengenai program berkenaan, Adnan berkata majlis penghargaan kepada pasukan hadapan itu adalah siri program di setiap negeri.

“Kita bertemu dengan semua pasukan hadapan dan berterima kasih atas khidmat bakti mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.