IPOH: Jurang Gred Purata Sekolah (GPS) antara sekolah di bandar dan luar bandar di negeri Perak selama lima, dari tahun 2012 hingga 2016, semakin mengecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, dalam tahun 2012, jurang adalah sebanyak 0.48, menurun kepada 0.32 pada tahun 2016.

Menurut beliau, secara khususnya, beberapa daerah menunjukkan prestasi luar bandar yang lebih baik daripada bandar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016.

“Analisis menunjukkan bahawa gred purata luar bandar bagi daerah Manjung, Batang Padang, Kinta Selatan dan Hulu Perak adalah lebih baik daripada gred purata bandar dalam peperiksaan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, semua pihak sentiasa berusaha keras untuk merapatkan jurang di antara lokasi dan masyarakat, tanpa melihat warna kulit dan latar belakang keluarga.

Dr Amin berkata, kerajaan juga komited untuk membangunkan sektor pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini, yang telah menunjukkan perkembangan yang positif.

Beliau memberi contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong yang dibina khusus untuk kumpulan masyarakat itu dan beroperasi 19 September tahun lalu, telah menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

“Kecenderungan ini menjadikan peratus pelajar Orang Asli yang menuntut di Tingkatan 1 di sekolah ini telah meningkat kepada 84.2 peratus dan Jabatan Pendidikan Negeri menjangkakan menjelang tahun 2022, seramai 1,091 pelajar Orang Asli sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput akan belajar dalam pelbagai tingkatan di sekolah ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak tahun lalu, sebanyak 17 buah sekolah transformasi telah diwujudkan dan bilangan ini dijangka meningkat kepada 26 buah tahun 2018.

Menurutnya, sekolah transformasi merupakan sekolah terbaik setiap daerah yang mempunyai kualiti dan keupayaan untuk meningkatkan keberhasilan pelajar.