Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Seorang jurujual wanita maut setelah kenderaannya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 24.8, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gunung Panjang, di sini, lewat malam Jumaat.

Dalam kejadian pada 11.55 malam, Soo Pooi Min, 32, yang memandu kereta Perodua Axia dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan dilanggar kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, mangsa yang menuju ke Kampar hilang kawalan kenderaannya secara tiba-tiba apabila tiba di lokasi kejadian.

“Kenderaan mangsa masuk ke dalam laluan bertentangan dan pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux datang dari arah Kampar.

“Hilux itu kemudian melanggar bahagian sisi kiri kenderaan mangsa dan menyebabkan terbalik serta-merta. Mangsa yang tersepit dalam kenderaannya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Kong Soon berkata, mayat Pooi Min dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat pada jam 9 pagi Sabtu manakala keretanya akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.