KUCHING : Keputusan sama ada wakil Sarawak dalam Kabinet pusat sekarang akan dikekalkan atau tidak akan diputuskan apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas ini.

“Biar saya jadi perdana menteri dahulu dan selepas itu soalan tersebut akan dijawab,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan (PH) Sarawak di sini, hari ini.

Menurut janji yang dipersetujui pimpinan PH, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada satu tarikh yang tidak ditentukan selepas gabungan politik itu berjaya menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum lepas.

September lepas, dilaporkan bahawa Mahathir akan mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar.

Dalam ucapannya sebelum itu, pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri selepas ini.

“Agenda utama kita ialah menyokong Anwar sebagai perdana menteri berikutnya. Oleh sebab itulah kita memutuskan untuk menjemput Anwar ke acara hari ini untuk menyatakan sokongan kepada beliau,” katanya.

Turut hadir ialah ahli Parlimen Saratok Ali Biju, ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, ahli Parlimen Julau Larry Sng, ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Adun Padungan Wong King Wei.

Menteri Kerja Raya Baru Lian tidak hadir ke acara tersebut.