IPOH: Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) akan melipat gandakan programnya sepanjang tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Azhar Ahmad.

Menurut beliau, program-program itu dilaksanakan untuk kebaikan dan kebajikan umat Islam tanpa batas ideologi politik bagi mendapat keredhaan Allah SWT.

Beliau berkata, walaupun program yang diadakan bukan untuk mencari publisiti kerana dibimbangi boleh menimbulkan riak, banyak di antaranya menjadi ikutan di negeri-negeri lain.

“Alhamdulillah, banyak program yang KADIR anjurkan dicontohi oleh pelbagai pihak, termasuk di negeri-negeri lain, misalnya selawat perdana dan street dakwah,” katanya kepada Suara Perak.

Selain selawat perdana dan street dakwah yang menampilkan artis-artis yang telah berhijrah, program lain yang dianjurkan KADIR ialah ceramah perdana Datuk Ustaz Kazim Elias, pengajian agama setiap minggu dan bulan di kediaman Menteri Besar dan Intellectual Discourse.

Selain program keagamaan, KADIR turut mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakat seperti bantuan kepada mangsa banjir, warga miskin dan masyarakat Orang Asli, termasuk program ketika bulan puasa dan hari raya.

Azhar berkata, tahun ini adalah tahun yang cukup mencabar, yang menuntut KADIR untuk lebih proaktif meningkatkan program-program yang berbentuk kemasyarakat, khususnya untuk merapatkan silaturrahim sesama ummah.