PENGKALAN HULU: Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pihak pengurusan Pondok Al-Latifiah (Pondok Pak Teh) di Pengkalan Hulu yang terbakar lewat malam Ahad.

Sebagai permulaan, wakil KADIR, Abdul Syukur Ismail menyampaikan bantuan kain pelikat dan batik ketika meninjau kawasan yang terbakar.

Selain menyampaikan sumbangan, beliau turut mengumpulkan maklumat mengenai kebakaran itu, seperti kerugian yang dialami dan bantuan yang diperlukan.

KAdir-bantuan-pondok 2

Baru-baru ini, Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk melihat apa yang boleh dibantu, selain daripada bantuan yang mungkin diberikan kerajaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam Ahad, sebanyak 18 buah penginapan pusat pengajian agama yang dikenali sebagai Pondok Pak Teh di Kampung Kuak Luar, di sini hangus dijilat api.
Berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan Pondok Pak Teh, antara yang terbakar di dalam kejadian itu ialah kitab-kitab, pakaian, jubah, almari, dapur, tong gas dan keperluan harian pelajar.

Di samping itu, kos pembinaan 18 pondok yang terbakar dianggarkan RM90,000, termasuk upah.