KANGAR: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali-39 menetapkan bahawa hukum kahwin lari atau melaksanakan perkahwinan di luar negara adalah sah mengikut beberapa keadaan dan situasi.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata sah status perkahwinan sekiranya pasangan yang berada di luar negara dan menghadapi kesukaran yang besar untuk mendapatkan keizinan wali asal sehingga terpaksa menggunakan wali hakim.

“Manakala hukum perkahwinan bagi pasangan yang sengaja ke luar negara untuk melangsungkan pernikahan, mereka dibahagikan kepada beberapa kategori.

“Pertama adalah perkahwinan yang dilangsungkan kerana mengelak birokrasi pentadbiran setempat, sekiranya pasangan terbabit ke luar negara bersama wali atau mendapat kebenaran wali maka status perkahwinan itu sah tanpa ragu.

“Jika pasangan adalah seorang janda, memadai hanya mendapat kebenaran walinya sahaja manakala saudara baharu boleh menggunakan wali hakim,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, kategori kedua adalah perkahwinan yang melarikan diri daripada wali.

“Seandainya wanita itu adalah anak dara dan walinya enggan mewalikan perkahwinannya tanpa sebab yang munasabah, perkahwinan adalah sah dengan syarat dia dapat membuktikan keengganan wali berkenaan.

“Jika tidak perkahwinannya dikira fasid dan hendaklah mengulangi akad perkahwinan itu dengan keizinan wali.

“Jika wali mempunyai sebab untuk membantah perkahwinan berkenaan atas sebab tertentu dan ia dipersetujui pihak berkuasa agama, maka perkahwinannya terbubar,” katanya.

Mohd Asri berkata, pihaknya turut menasihatkan pihak berkuasa agama negeri memudahkan urusan perkahwinan dengan mengelakkan kerenah birokrasi yang membebankan – Berita harian