IPOH: Kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya berhubung perkahwinan antara perogol dan kanak-kanak mangsa rogol disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, perkahwinan itu boleh diibaratkan seperti mengundang penderaan.

Beliau secara peribadi berpendapat, cadangan itu sangat tidak betul dan tidak boleh diterima.

“Sudah jelas perogol itu bukan seorang calon atau individu yang baik untuk menjadi suami, malah sekiranya dia sanggup merogol, mungkin dia juga akan mendera mangsa itu pula selepas berkahwin.

“Selepas dirogol kemudiannya dipaksa kahwin dan didera…saya rasa ianya sesuatu yang amat salah, saya amat-amat tidak setuju,” kata beliau dalam satu sidang media sempena Sidang DUN Perak di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Shabudin berkata, tiada salah untuk seorang mangsa rogol berkahwin dengan perogol.

Malah tambah beliau, segelintir kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun juga telah pun bersedia dari segi fizikal dan rohani untuk perkahwinan.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan tentang Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.