ALOR GAJAH : Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) meminta kerajaan mengkaji semula had perolehan yang ditetapkan untuk Kontraktor G1 atau Kelas F bagi perolehan kerajaan daripada RM200,000 masa ini kepada RM500,000.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata langkah itu selaras dengan peningkatan harga bahan binaan dan buruh sekali gus membantu kontraktor G1 lebih berdaya saing serta lebih kompetitif pada masa hadapan.

“Cadangan ini telah dibincangkan dengan jemaah menteri sebelum ini dan harap ia dapat dipersetujui serta dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Alor Gajah Coop Run 2020 di Dataran Keris di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan khususnya MED dan agensi di bawahnya terutama Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) menyediakan pelbagai ruang dan peluang terutama dalam bentuk perolehan yang boleh direbut dan dimanfaatkan golongan kontraktor G1.

Mohd Redzuan berkata kursus percuma berkaitan bidang pembinaan turut disediakan bagi melatih dan meningkat keupayaan kontraktor G1 berdaftar yang kini mencecah 24,000 orang di seluruh negara.

“Ada yang merintih menyatakan mereka tiada peluang dalam perolehan kerajaan tetapi ia sebaliknya. Kontraktor G1 tidak boleh duduk selesa dan hanya menunggu kontrak yang diberi tanpa usaha meningkatkan kepakaran serta kualiti kerja mereka,” katanya.

Mohd Redzuan berkata selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan satu sekretariat khas yang dibentuk dalam kalangan badan profesional sektor pembinaan bagi memastikan keseimbangan dari aspek tawaran harga dan kompetensi golongan itu dapat dicapai.

Katanya sekretariat itu juga berperanan memastikan golongan kontraktor G1 memenuhi keperluan skop kerja mengikut kontrak projek yang diperoleh.

Terdahulu pada majlis itu, lebih 2,000 peserta menyertai program larian komuniti itu yang bertujuan mempromosikan gerakan koperasi menerusi aktiviti sihat dan sukan iaitu Fun Run sejauh 5 kilometer (km) dan masing-masing 3km bagi kategori Veteran dan Family Run. – BERNAMA