IPOH : Pemuda Amanah Nasional, mahu satu kajian semula dibuat bagi menilai peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pemandu mabuk.

Antaranya adalah peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan melihat kepada hukuman yang lebih berat terhadap pesalah.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, berdasarkan kepada kes-kes kemalangan, kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk semakin membimbangkan.

“Hukuman yang dikenakan pula adalah penjara mandatori antara 3 hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000 meskipun kes melibatkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hasnul berkata, baru-baru ini, negara sekali lagi dikejutkan dengan kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.

Pada Khamis, seorang penerbit sambilan maut, manakala anak lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Klang Lama.

Mohd Hezle Mohd Helan, 44, yang turut terbabit membuat liputan Sukan SEA 2019 di Manila baru-baru ini, maut di lokasi kejadian, manakala anaknya berusia sembilan tahun patah paha kanan dalam nahas kira-kira jam 1.05 pagi itu.

Sebelum ini, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang maut selepas motorsikal ditunggangnya dirempuh pemandu wanita warga asing yang mabuk, berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetown.