Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebuah restoran terkemuka di sini, diserbu oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kerana disyaki menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa.

Ketika serbuan di premis yang terletak di Jalan Yong Kalsom itu dilakukan, terdapat beberapa pelanggan beragama Islam sedang menjamu selera tanpa segan silu.

Premis menjual makanan itu dipercayai menjadi pilihan utama lelaki Islam kaki ponteng puasa membeli makanan pada setiap kali bulan Ramadan menjelma saban tahun.

Serbuan yang dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama penduduk setempat berjaya mencekup beberapa kaki ponteng puasa yang sedang sibuk membuat pesanan di gerai tersebut.

Operasi itu yang dijalankan pada pukul 1 tengahari turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Bandaraya Ipoh dan Polis Diraja Malaysia.

Restoran yang dikenali sebagai “hotspot” kaki ponteng puasa itu dikerumuni oleh pegawai penguatkuasa yang dilihat sedang mendapatkan maklumat daripada pekerja dan pemilik premis itu.

Baru-baru ini, pihak media melaporkan aksi umat Islam yang tidak berpuasa membeli makanan di restoran yang menyediakan perkhidmatan “drive-thru” pada waktu tengahari.

Laporan akhbar itu menyebut bahawa pelanggan beragama Islam hanya perlu menanti makanan di dalam kenderaan yang diletakkan berhampiran restoran berkenaan.

Pelanggan itu dipercayai telah membuat pesanan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, gambar-gambar serbuan JAIPk yang disebarkan di laman media sosial mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Mereka menganggap tindakan tidak bertanggungjawab itu wajar dikekang dengan segera perbuatan sesetengah pihak yang tidak menghormati bulan mulia Ramadan ini.