IPOH: Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) menawarkan pinjaman sehingga RM3,000 dengan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus kepada anggota-anggotanya.

Pengerusi KAKIB, Khairul Anuar Mohd Nor berkata , Pembiayaan Khas COVID-19 KAKIB itu merupakan inisiatif bagi meringankan beban anggota yang memerlukan.

Menurut beliau, ahli-ahli boleh boleh memohon bermula 15 April hingga 29 Mei 2020 dan pembayaran balik hanya bermula pada September.

“Borang boleh didapati dilaman web rasmi, www.kakib.my atau terus ke pejabat KAKIB. Permohonan dan kelulusan tertakluk juga kepada terma dan syarat,” katanya selepas Program Sumbangan Prihatin KAKIB di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Hadir sama Bendahari KAKIB, Mohd Zamal Abidin Wahid dan Pengurus KAKIB Safar Travel & Tour, Mohamed Jamaluddin.

Khairul Anuar berkata, pihaknya juga sedang menunggu keputusan dari pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk membayar dividen awal.

Beliau memaklumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) urusan perkidmatan Al-Rahnu KAKIB dibuka dua kali seminggu iaitu Selasa dan Khamis dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas keseluruhanya bernilai RM10,000 kepada anggota-anggota KAKIB serta golongan yang memerlukan.

“Program sumbangan prihatin KAKIB ini merupakan salah satu aktiviti CSR kami dan bantuan ini difokuskan kepada anggota-anggota KAKIB dan orang awam yang terkesan dengan penularan COVID-19 yang menular sekarang ini.

“Kami juga memberi sumbangan minuman dan ‘hand sanitizer’ kepada ‘frontliner’ di HRPB dan petugas-petugas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai tanda sokongan moral serta menghargai mereka yang berjuang memerangi COVID-19,” ujarnya.