BUTTERWORTH: Seorang kerani Zakat Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM2,592.

Mohd Nazrol Shaari, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 22 April hingga 4 Mei 2015 didakwa memasukkan RM1,650 wang bagi tujuan pembayaran saman kenderaan Zakat Pulau Pinang ke akaun peribadi miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan RM942 wang pembelian tangga Zakat Pulau Pinang ke akaun peribadi miliknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Fieza Fazlin Fandi, memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes – berita harian