KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh menjadi ‘rumah’ baharu untuk orang Melayu yang ketika ini seakan dibelenggu ketakutan dan rasa terancam selepas UMNO tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata orang Melayu turut mengakui hakikat bahawa perpecahan dalam kalangan mereka bakal menyebabkan kaum berkenaan tidak diberikan hak dan layanan sama rata di negara ini.

“Orang Melayu mahu parti yang kuat dan BERSATU ialah parti orang Melayu, malah pelbagai kaum lain juga nak masuk BERSATU. Kalau mereka (Melayu) tidak sertai BERSATU, ke mana mereka nak pergi? Mereka tidak boleh sertai UMNO. UMNO sudah musnah.

“Mereka sertai BERSATU kerana orang Melayu takut dan mereka rasa terancam, mereka rasa kalau mereka ‘berpecah’, mereka tidak boleh dapat hak dan layanan sama rata daripada negara ini.

“Mereka ini sedang ‘mencari’ parti. Mereka tidak boleh menyertai PKR kerana ia menerima keahlian kepelbagaian kaum. Mereka tidak dapat sertai AMANAH kerana itu parti pelbagai kaum, juga tidak dapat sertai DAP. Jadi apa pilihan mereka?” katanya dalam temu bual bersama beberapa editor kanan media tempatan, baru-baru ini.

Pelawa baiki kepincangan

Melihat pada perkembangan politik semasa, Perdana Menteri berkata, BERSATU adalah satu-satunya parti Melayu yang ada pasca- peralihan tampuk pemerintahan kerajaan susulan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu.

Mengakui wujud cacat cela dalam pengurusan parti yang berusia ‘setahun jagung’ itu, beliau mempelawa mana-mana individu yang ada pendapat sedemikian untuk menyertai BERSATU dan cuba memperbaiki kepincangan sedia ada.

“Kalau tidak BERSATU, siapa? Mahu masuk UMNO? Kalau boleh masuk UMNO pun, apalah sangat. UMNO penyangak. Dia (Melayu) nak pergi ke mana? Kita tidak bagi tempat kepemimpinan (jawatan) kepada mereka tetapi yang bersih, bukan daripada UMNO, kita beri tempat.

“Kita sahaja parti Melayu yang ada. Kalau dia nak parti Melayu, BERSATU sudah ada. Kalau BERSATU tak baik, pergi bagi baiklah. Kalau anda tahu cara untuk baiki, masuk (sertai parti) dan baiki,” katanya.

Mampu raih keyakinan dalam masa lebih singkat

Mengulas tempoh untuk meraih keyakinan orang Melayu, Dr Mahathir menyuarakan harapan matlamat itu berupaya dicapai dalam masa lebih singkat, namun ketika ini BERSATU sedang giat mengkaji tingkah laku manusia, termasuk nilai dipegang setiap kelompok masyarakat.

Katanya, orang Cina mempunyai ketekunan dalam bekerja, selain dinamik dan sangat berpengetahuan sehingga menyaksikan kaum berkenaan melakar pelbagai kejayaan walaupun tanpa membentuk sebarang gabungan.

“Lihat negara kita sekarang, orang Melayu tinggalkan bandar untuk menetap di kampung. Tiada lagi Kampung Kerinchi, tiada lagi Kampung Abdullah Hukum, tiada lagi Sungai Penchala, kerana mereka miskin dan mereka ketakutan untuk jadi lagi miskin.

“Mereka menjual tanah mereka pada harga yang tinggi dan pindah ke kawasan pedalaman. Bandar berkembang menjadi kawasan pedalaman. Sekali lagi, mereka jual tanah dan ulangi proses sama.

“Sehingga sekarang, ia kembali menjadi hutan. Mereka ketakutan, tetapi akhirnya mereka kembali menetap dalam hutan. Mereka mahu seseorang melindungi mereka dan percaya hanya Melayu boleh melindungi mereka.

“Jadi, mereka mahu parti ini. Kalau kita tidak mendekati mereka, kita tidak akan mendapat sokongan dan kita akan selalu kalah.

“Sepatutnya, kita tidak menubuhkan BERSATU dan tidak menekankan yang kita parti Melayu. Saya sangat yakin pada PRU-14, Najib akan menang seperti PRU-13.

“Ya, majoriti undi popular diberikan kepada pembangkang tetapi kerana struktur Perlembagaan, orang Melayu masih boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan. Tetapi, mereka membentuk incompetence crooked goverment – kleptokras,” katanya – berita harian