IPOH, 28 DIS – Pas perlu memaklumkan hala tuju mereka dengan jelas sama ada memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) supaya mereka tidak tercicir seperti yang pernah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu.

Di samping itu, ia bagi memudahkan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO, Tajuddin perlu tahu mana-mana kawasan yang terlibat secara langsung dalam sebarang bentuk kerjasama.

“Yang tu saya fikir adalah kerana dia perlukan satu hala tuju yang jelas, tak nak diulangi barang kali kelemahan dan kesilapan yang berlaku semasa PRN Sabah.

“Ketika di Sabah tidak ada Muafakat Nasional, hanya ada Perikatan Nasional, jadi sebab itu akhirnya kita dapati Pas tercicir sebab dia barangkali mengharapkan Muafakat Nasional sedangkan di Sabah tak ada Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau ditemui selepas rakaman program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berpendapat, dengan adanya hala tuju jelas itu, memudahkan Tajuddin untuk merencana dan merancang apa yang perlu dilakukan menjelang PRU15.

Pada Sabtu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, Pas perlu membuat keputusan segera sama ada mahu bersama-sama dengan MN atau PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana setakat ini parti itu masih belum pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka untuk menghadapi PRU-15.

Sumber Gambar – Komunikasi Strategik Perak – Official