KUCHING : Gabungan Parti Sarawak (GPS) kelihatan tidak mengendahkan tawaran damai DAP kepada gabungan kerajaan tersebut dengan Ketua Menteri Abang Johari Openg mengingatkan tentang kenyataan pemimpin DAP sebelum ini yang mengutuk kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, tahun lepas seorang pemimpin DAP (setiausaha agung DAP Lim Guan Eng) datang ke Sarawak dan mengisytiharkan bahawa negeri berkenaan akan bangkrap dalam tempoh 3 tahun.

“Kami (GPS) bukan bodoh untuk menyokong parti itu. Kami berhati-hati kerana parti itu (DAP) bercita-cita untuk mengambil alih Sarawak,” katanya.

Katanya, DAP juga mendakwa GPS tidak berkemampuan mentadbir Sarawak dengan baik.

“Ketika ia menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, banyak projek di Sarawak telah ditarik balik.

“Mereka fikir kami tidak mampu hidup tanpanya (projek terbabit).

“GPS berjaya mengambil alih semua projek pembangunan yang ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis pelancaran zon GPS Belaga hari ini.

Terdahulu hari ini, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, parti itu bersedia membuat konsesi dan bekerjasama dengan GPS untuk kepentingan negara.

“Negara kini berada di persimpangan jalan dan GPS mesti membuat keputusan antara memilih untuk menyertai gabungan kleptokrat dan pelampau agama Umno-PAS atau mengekalkan gabungan progresif PH.

Chong mendakwa Umno dan PAS adalah kombinasi antara kleptokrat dengan pelampau agama yang akan memusnahkan negara dan generasi masa depan.

“Saya merayu pemimpin GPS supaya mengetepikan perbezaan politik lampau dan bekerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara kita daripada mengambil jalan kemusnahan.

“Bagi pihak DAP Sarawak, kami bersedia membuat konsesi dan mengetepikan perbezaan untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara,” katanya.

Abang Johari berkata, GPS akan menyokong mana-mana gabungan politik kebangsaan yang bersedia membayar cukai jualan ke atas produk petroleum dan memenuhi hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika anda mahu sokongan Sarawak, maka bayar cukai jualan 5% dan kembalikan hak kami berdasarkan MA63. Ini pendirian kami.”

Kerajaan Sarawak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Petronas kerana kegagalan membayar cukai jualan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion.

Abang Johari berkata, 2 blok politik terbabit cuba mendapatkan sokongan parti itu di tengah-tengah kemelut politik yang membelenggu Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, GPS enggan bekerjasama dengan pemimpin yang tidak mempunyai pendirian politik.

“Kami di Sarawak bukan begitu,” katanya.

Namun katanya, negara kini berdepan krisis politik dan pemimpin GPS akan memberi sokongan bagi “menyelamatkan” negara.

“Tetapi saya tegaskan bahawa apa juga keputusan kami, ia akan dibuat berasaskan kepentingan nasional tanpa mengorbankan hak negeri,” katanya.

GPS dijangka mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur esok bagi memuktamadkan kedudukan mereka.