IPOH – Penduduk di kawasan Bercham hari ini menyatakan sokongan mereka buat calon Barisan Nasional Low Guo Nan yang mereka harap akan menang kerusi DUN Bercham.

Wakil penduduk, Cheng Ming Tat, 40, berkata mereka sepakat menyokong Low kerana yakin dia dapat melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu dengan lebih berkesan.

Katanya mereka memilih Low kerana merasakan calon BN mampu untuk kekal dikawasan itu berbanding calon PKR yang suka berpindah-pindah.

Menurutnya lagi Low yang mereka kenali sebaai ‘Ah Nan’ layak serta berhak mendapat undi penduduk Bercham kerana dia telah lama bekerja mencurah bakti kepada penduduk di situ.

”Kami betul-betul mahukan seorang wakil rakyat yang boleh berdiri bersama kami, berkhidmat untuk rakyat dan bukanya calon yang dipilih tetapi selepas itu menghilang.

“Kami selaku penduduk Bercham tampil memberikan sokongan kepada Ah Nan. Kami bukannya mewakili mana-mana persatuan dan pihak tertentu tetapi ini suara kami penduduk daripada kawasan Bercham.

“Selama 14 bulan beliau menjadi ahli majlis Bandaraya Ipoh, calon BN ini telah menjaga kawasan Bercham. Dia seorang yang rajin dan sentiasa bertungkus lumus membantu kami,” kata Ming Tat kepada media dalam satu sidang akhbar ringkas di Kompleks Sukan Bercham, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan calon BN yang lebih mesra dipanggil Ah Nan itu merupakan ciri-ciri wakil rakyat yang dikehendaki mereka di mana beliau sendiri mencari masalah yang dihadapi penduduk bukan hanya menunggu aduan daripada penduduk.

Pada PRU-13, kerusi DUN Bercham dimenangi Cheong Chee King dari DAP.

Jelasnya lagi, selama ini calon BN itu yang banyak membantu penduduk setempat walaupun DUN Bercham sebenarnya diwakili wakil rakyat DAP.

Antara masalah yang sentiasa diberi perhatian Ah Nan adalah berkaitan masalah Aedes, sampah sarap, banjir dan pelbagai kes penipuan, katanya.

Beliau turut menghulurkan bantuan kewangan kepada seorang pelajar daripada keluarga susah sehingga membolehkan pelajar itu menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Kami percaya dia boleh membantu kami pada masa akan datang jadi kami sebagai penduduk Bercham, kami sokong dan beri kerjasama kepada beliau untuk menjadi wakil rakyat supaya dia boleh terus berkhidmat,” katanya.

Mengulas mengenai wakil rakyat terdahulu, jelas Ming Tat selama 10 tahun tidak ada banyak perubahan yang dapat dinikmati oleh penduduk selain tidak mengendahkan aduan daripada penduduk.

“Menerusi pengalaman saya selaku ahli dalam pasukan sukarelawan dan kini ahli rukun tetangga, saya selalu berjumpa penduduk jadi saya faham perasaan mereka apabila wakil rakyat tidak boleh membantu mereka,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada calon Ah Nan, sekitar 300 penduduk Bercham akan berkumpul dan menulis kata-kata sokongan kepada untuk digantungkan pada ranting pokok.

Pada PRU ini, Low akan bertemu Ong Boon Piow dari DAP dalam pertembungan satu lawan satu bagi kerusi N28.

Ong sebelum ini merupakan ADUN Tebing Tinggi namun berpindah untuk bertanding di kerusi DUN Bercham.

BERITA BERKENAANPolis Panggil Empat Individu Berkaitan Dakwaan Tun M