JEMPOL: Seorang lelaki ditahan setelah disyaki merogol anak saudaranya yang berusia lima tahun di dalam tandas Air Terjun Kem D-Bana Ayer Hitam, di sini, pada 23 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan murid tadika dibawa ke kem rekreasi berkenaan bersama dua sepupu lelaki berusia enam dan empat tahun oleh suspek seorang penganggur berusia 22 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3 petang semasa mangsa sedang membersihkan diri di dalam tandas.

“Sebaik pulang ke rumah pada jam 4 petang, mangsa telah menceritakan kejadian kepada neneknya yang kemudian telah membuat laporan polis,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dalam satu kenyataan.

Mangsa dibawa ke Hospital Jempol dan laporan perubatan mengesahkan terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

Menurut Mohd Hafiz lagi, mangsa yang sebelum ini tinggal bersama ibunya di Puchong, Selangor telah berada di rumah neneknya di Kampung Dusat, Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol sejak pertengahan bulan lalu.

“Suspek yang tidak bekerja telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.