PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak lelaki hampir dihanyutkan air sungai yang naik mendadak ketika menjala ikan bersama rakannya di Sungai Masai dekat Persiaran Seri Alam, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kanak-kanak terbabit dilaporkan tidak sempat naik ke tebing apabila air sungai meningkat berikutan hujan lebat tetapi berjaya berpaut pada tembok jambatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar berkata difahamkan mangsa yang berumur 12 tahun menjala ikan bersama seorang rakannya sungai berkenaan.

“Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, ada seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di bawah jambatan di Persiaran Seri Alam.

“Mangsa berpaut kira-kira 15 minit di tepi tembok jambatan sementara menunggu pertolongan. Rakan mangsa yang menghubungi bomba untuk menyelamat rakannya.

“Pihak bomba mengambil masa tujuh minit menyelamatkan mangsa kerana keadaan air sungai yang deras pada ketika itu dan hujan renyai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, mangsa berjaya diselamatkan menggunakan jaket keselamatan serta tali penyelamat dan diserahkan kepada keluarga dalam keadaan selamat.

“Kanak-kanak terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan dan pemantauan,” katanya – BH