DUNGUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai menjadi mangsa seksual remaja lelaki yang juga jiran keluarganya dalam kejadian di daerah ini, Khamis lalu.

Kejadian menimpa mangsa terbongkar selepas kanak-kanak itu pulang ke rumah dalam keadaan menangis, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sumber berkata, bapa mangsa berusia 30-an yang berada di rumah terkejut melihat anaknya yang baru pulang dari rumah jiran mereka menangis sebelum bertanya mengapa dia berkelakuan sedemikian.

Katanya, mangsa memaklumkan sakit di kemaluannya kerana suspek yang dipanggil ‘abang’ ada memasukkan sesuatu ke dalamnya.

“Mangsa memberitahu ayahnya yang suspek mengajaknya masuk ke dalam bilik tidur ketika dia sampai di rumah berkenaan.

“Ketika itu, hanya mereka berdua berada di dalam bilik berkenaan dan suspek dikatakan menutup muka mangsa menggunakan tuala manakala mulutnya disumbat dengan sesuatu sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Mangsa memaklumkan tidak tahu apa yang dilakukan suspek kerana matanya tertutup namun menangis kerana rasa sakit di bahagian kemaluannya menyebabkan suspek berusia 18 tahun itu menyuruhnya pulang ke rumah,” katanya.

Sumber berkata, bapa mangsa meminta isterinya yang sedang bekerja pulang ke rumah dengan segera sebelum wanita itu ke rumah suspek untuk bertanya mengenai kejadian itu.

Katanya, suspek tanpa rasa bersalah mengaku ada melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, sebelum satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa mangsa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.