TAPAH : Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di ladang kelapa sawit di Kampung Baru Bidor Stesen, Bidor, hari ini, ditemui selamat beberapa jam kemudian.

Mitra, 3, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 11.27 pagi ketika mengikut mereka memunggut kelapa sawit di ladang terbabit.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan Mitra daripada ibunya, P Punitha, 30.

Menurutnya, susulan daripada itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada 12.30 tengah hari.

“Operasi membabitkan 35 pegawai dan anggota terdiri daripada 21 orang polis, lapan bomba dan enam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tapah.

“Pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah,” katanya.

Wan Azharudin berkata, kanak-kanak itu berjaya dijumpai dalam keadaan selamat pada 1.45 tengahari, di kawasan semak ladang kelapa sawit, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat terakhir dia dilihat.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh APM sebelum dibawa ke Hospital Tapah bagi menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pencarian disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor.