KOTA BHARU: Dua sahabat ditahan polis di Gua Musang ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Johor, dengan membawa bekalan dadah disyaki ganja bernilai RM282,260, Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek berusia 35 tahun dan 39 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya pada jam 6 petang di Jalan Jeli-Gua Musang dekat Kampung Meranto, Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata kereta jenis Honda Hybrid Insight berwarna hitam yang dinaiki dua suspek itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan polis menemui 94 ketul mampat daun kering disyaki ganja.

“Kita dapati suspek baru mengambil bekalan itu dari pangkalan haram dalam jam 5 petang sebelum menghala ke Pantai Barat.

“Bekalan dadah itu adalah untuk pasaran di Pahang, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK), di sini, hari ini.

Katanya, dalam pemeriksaan itu juga polis menemui dua paket plastik mengandungi syabu seberat 3.70 gram daripada poket seluar seorang suspek, manakala 200 mililiter (ml) ubat batuk di dalam botol ditemui di dalam kereta itu serta wang tunai RM4,600.

Hasanuddin berkata, kereta dinaiki suspek juga mempunyai kaitan kes curi di Pengkalan Chepa, pada Jun 2016, selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil siasatan awal, suspek juga mengaku mengambil bekalan dadah daripada seorang individu di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga positif dadah jenis Methaphtamine.

Katanya, seorang daripada suspek itu juga mempunyai 10 kesalahan rekod lampau berkaitan kes dadah dan curi kenderaan di sekitar Ampang dan Jinjang, Selangor serta Sentul, Kuala Lumpur -berita harian