SERI KEMBANGAN: Seramai 22 aktivis termasuk wakil tunggal Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, diculik oleh tentera Israel pada jam 7.15 malam waktu Malaysia di perairan antarabangsa ketika dalam misi kemanusiaan pelayaran Kapal Al-Awda menuju ke Gaza.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata tindakan Israel dengan merampas dan menculik anak kapal Al-Awda di perairan antarabangsa dianggap sebagai mencabul kehormatan undang-undang maritim.

Katanya, Israel tidak berhak menahan kapal Al-Awda daripada belayar di perairan antarabangsa dan tindakan menghalang masuk ke Gaza serta menyekat semua akses luar bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolektif ke atas mana-mana komuniti.

“Tindakan merampas dan membawa anak kapal masuk ke Israel secara paksa adalah sstu rompakan dan penculikan dan mereka tidak berhak melayan anak kapal seperti penjenayah.

“Kapal Al-Awda belayar secara aman tanpa provokasi, tidak membawa senjata dan hanya membawa mesej solidariti serta sedikit bantuan perubatan. Justeru tindakan Israel ini tidak ubah seperti lanun, ” katanya dalam sidang media, di pejabat MyCARE, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Hafidzi, Ayu Mazlan, 45 dan dua anaknya Anis Afifah, 20 serta Adib Affandi, 11.

Ketika ini, anak kapal Al-Awda semua berada dalam keadaan selamat dan kapal mereka ditunda di Pelabuhan Ashdod – berita harian