MIRI: Kehadiran kapal peronda China di Perairan Beting Patinggi Ali di wilayah utara negeri ini, tidak menjejaskan keselamatan nelayan tempatan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bahagian Miri, Kapten Fauzi Othman, berkata kapal peronda Maritim Malaysia turut melakukan rondaan rutin di perairan sama.

“Ya, memang ada kapal peronda dari sana (China) melakukan rondaan di perairan itu, namun mereka tidak mengganggu nelayan kita.

“Maritim Malaysia Miri, setakat ini, belum menerima sebarang aduan daripada nelayan setempat berhubung gangguan disebabkan kehadiran kapal peronda asing itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu kehadiran kapal peronda asing berkenaan sudah dimaklumkan kepada peringkat atasan untuk perhatian lanjut, khusus bagi mencari jalan penyelesaian secara diplomasi.

“Kerajaan Malaysia sudah memaklumkan perkara itu kepada Kerajaan China untuk perhatian negara berkenaan, terutama mengenai kegelisahan nelayan tempatan berhubung kehadiran kapal peronda mereka,” katanya.

Sementara itu, Fauzi berkata, aktiviti pencerobohan nelayan asing, terutama dari Vietnam di perairan utara negeri ini semakin berkurangan hasil operasi pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan Maritim Malaysia dengan kerjasama agensi berkaitan.

“Sejak penguatkuasaan dan operasi banyak dilakukan di perairan wilayah utara Sarawak, kes pencerobohan nelayan asing semakin berkurangan, sejak awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi rondaan rutin di lokasi panas yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan nelayan asing melakukan kegiatan perikanan secara haram.

“Ini bagi memastikan aktiviti pencerobohan nelayan asing dapat dikurangkan bagi memastikan sumber ikan dan hasil laut dijaga dengan baik, sekali gus membantu meningkatkan sumber pendapatan nelayan tempatan,” katanya – berita harian