BINTULU: Kehadiran sebuah kapal tunda yang mencurigakan, dipercayai membongkar aktiviti penyeludupan minyak sawit dan diesel di Kuala Sungai Batang Kemena di sini, Selasa lalu.

Kapal tunda dikendalikan seorang juragan serta krew berusia 20 dan 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Sarawak jam 9.15 malam ketika melakukan rondaan Ops Pensura.

Berdasarkan risikan, dipercayai kapal itu digunakan untuk mengangkut bekalan minyak sawit dan diesel diperoleh dari sebuah kapal lain berlabuh di perairan Bintulu sebelum dibawa ke kawasan pedalaman melalui Sungai Batang Kemena.

Komander PPMW5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata kapal tunda itu ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota pasukan berkenaan memintas untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tunda itu membawa 5,000 liter minyak sawit dan 5,000 liter diesel tanpa sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Juragan kapal juga gagal mengemukakan sebarang bukti konsisten bahawa mereka diberi kebenaran membawa bahan bersubsidi itu.

“Dipercayai kapal tunda berkenaan mendapatkan bekalan dari sebuah kapal lain yang berlabuh di perairan Bintulu sebelum menggunakan Sungai Batang Kemena untuk menghantar bekalan kepada pihak tertentu,” katanya.

Salehuddin berkata, kapal itu ditahan di jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Bintulu sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Bintulu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dalam simpanan barang kawalan tanpa permit sah – berita harian