Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Program pemerkasaan Bahasa Melayu terus disemarakkan di kalangan pelajar bukan Melayu melalui penganjuran Karnival Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil (SJKT) peringkat Negeri Perak yang akan berlangsung pada 13 Mei ini.

Penganjuran kali ini mendapat sambutan memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya dengan 49 sekolah akan menyertai pertandingan teater solo dan kuiz sempena karnival berkenaan.

Pengerusi Pengelolanya, P Kamaladevi berkata, aktiviti itu dianjurkan berlandaskan objektif utama, iaitu memupuk minat mendalam mengenai penguasaan Bahasa Melayu di kalangan murid SJK © dan SJKT.

Katanya, program peringkat daerah tersebut akan membabitkan penglibatan 12 pasukan bagi pertandingan kuiz di mana pemenang tempat pertama hingga ketujuh bakal melayakkan diri mewakili sekolah ke peringkat negeri.

“Kami cuba mengaplikasikan pendekatan kreatif dan amali dengan mendedahkan mereka kepada penguasaan Bahasa Melayu melalui kaedah lebih terbuka, iaitu teater dan kuiz di mana mereka tidak berasa begitu tertekan.

“Ia juga mengubah persepsi mereka mengenai sesi pembelajaran hanya berlaku di dalam kelas sahaja, sedangkan banyak lagi cara untuk meneroka bahasa lingua franca ini,” katanya kepada pemberita.

Kamaladevi berkata, karnival peringkat daerah akan berlangsung di SJKC Poi Lam pada 13 Mei manakala pertandingan peringkat negeri pula bakal berlangsung pada 20 Julai depan.

Sementara itu, Naib Pengerusi Unit Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Choong Shin Heng berkata usaha tersebut dilihat sebagai satu komponen efisien dalam mengalakkan pelajar menguasai tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina atau Bahasa Tamil.

“Saya yakin, Karnival Bahasa Melayu ini merupakan suatu aktiviti kokurikulum akademik yang amat berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar,” ujarnya lagi.