IPOH:Karnival Kreativiti dan Sains 4U 2017 Zon Utara boleh dijadikan platform untuk memupuk minat mendalam pelajar dalam dunia sains dan teknologi.

Pegawai Perhubungan Awam Agensi Angkasa Negara, Wan Hakimah Abd Rahim berkata ini selaras dengan matlamat kerajaan yang mahu melahirkan seramai mungkin tenaga mahir dalam bidang Sains dan Teknologi untuk menjadikan Malaysia negara maju.

“Negara ketika ini masih kurang tenaga mahir dan kepakaran dalam bidang Sains iaitu 40 peratus dan diharapkan peratusan ini akan meningkat dengan adanya program seperti ini bagi menyemai rasa minat mendalam murid dan pelajar dalam dunia Sains,” katanya.

WhatsApp Image 2017-03-22 at 1.35.17 PM

Wan Rahimah ditemui pemberita di Karnival Kreativiti dan Sains 4U 2017 Zon Utara yang berlangsung selama dua hari  bermula hari ini di Dewan Bandaran Ipoh pada Rabu.

Karnival itu yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama kerajaan negeri Perak  dijangka dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau esok.

Pengurus Unit Program Yayasan Angkasawan Malaysia, Hazwan Hassan pula berkata, Karnival sebegini amat penting dan perlu diteruskan bagi mendedah serta memupuk minat pelajar dalam kreativiti Sains.

“Selama dua hari karnival ini berjalan kita menjangkakan 4,000 pengunjung terdiri daripada murid dan pelajar dari 36 sekolah menengah, rendah Zon Utara iaitu Perak dan Pulau Pinang akan dapat didedahkan dalam pelbagai ilmu Sains dan inovasi,” Katanya.

WhatsApp Image 2017-03-22 at 1.35.05 PM

Menurut beliau, negara ketika ini memerlukan tenaga mahir dalam bidang Sains kerana kemajuan negara bergantung kepada bidang berkenaan.

“Bidang Sains boleh menjana ekonomi kepada negara contohnya industri satelit, kalau kita ada satelit ia boleh menjana pendapatan baru kepada negara melalui sewaan kepada negara sekitar.

“Negara ketika ini masih lagi bergantung kepada satelit luar,  kita sewa untuk mendapatkan data  dan kita bayar,” ujarnya.