HUTAN MELINTANG: Kenaikan harga barangan di pasaran bukanlah disebabkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebaliknya disebabkan kartel atau orang tengah yang mengejar keuntungan berlebihan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) yang telah bersidang sebanyak dua kali baru-baru ini mendapati tindakan memanipulasikan harga oleh golongan terbabit merupakan punca utama kenaikan harga barangan di pasaran.

“Memang benar ada kenaikan dari kos pengeluaran, pengimportan disebabkan berlakunya pertukaran wang kerana ketika itu wang kita agak rendah berbanding mata wang Amerika Syarikat, tetapi sekarang nilai mata wang kita telah meningkat tetapi kenapa harga barangan tidak turun?

“Ertinya kartel memainkan peranan sebagai orang tengah ambil margin (keuntungan) yang banyak, saya tak mahu bermusuh dengan mereka tapi saya mewakili rakyat minta kartel atau orang tengah ini jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa serta meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Promart Bagan Datuk dan Program Kos Sara Hidup di Hutan Melintang pada Isnin.

Tambah beliau, melalui majlis yang dipengerusikan beliau itu juga mendapati golongan terbabit juga merupakan antara syarikat atau individu yang sebelum ini “lari” daripada membayar cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mereka salahkan kerajaan kerana GST penyebab utama kenaikan harga sedangkan kartel inilah daripada dulu syarikat atau individu yang lari dairpada membayar cukai SST, oleh sebab itu kerajaan ambil langkah kenakan GST.

“Oleh kerana mereka marah dengan GST jadi mereka buat tomahan dan fitnah kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan akan berusaha memperbanyakan lagi kedai serbaneka promart yang mengantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

“MKSHN telah dicadangkan untuk melantik syarikat-syarikat untuk mengendalikan lebih banyak outlet Promart dan bukan lagi hanya dibawah satu syarikat seperti mana dibuat dahulu.

“Kerajaan juga menampung kos pengangkutan yang menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga barangan.

“Ini merupakan antara langkah kerajaan bagi memastikan rakyat masih dapat menikmati barangan dengan harga yang rendah dari pasaran selain tinggi kualitinya,” katanya.