KUALA LUMPUR: Kartunis, Azhar Ahmad, 46, atau lebih dikenali Tembakau meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi selepas 10 hari dimasukkan ke wad Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kuala Lumpur di sini akibat komplikasi jantung.

Beliau yang terkenal dengan karyanya Kartini dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 Jun lalu selepas mengalami serangan jantung.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Lalang dan dikebumi di kampung halamannya Padang Rengas, Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Kartunis, Azrul Izar Abdul Wahab menyifatkan kematian Tembakau sebagai kehilangan besar dalam industri komik di negara ini.

Katanya, walaupun Tembakau sudah tiada, karya Kartini akan terus diingati oleh peminatnya.

“Saya menganggap karya Kartini ini berada di tahap yang sama seperti karya koleksi Ujang yang lain seperti Bersama Selamanya dan Blues Untuk Aku. Walaupun beliau sudah tiada, tetapi karyanya itu akan terus diingat dan hidup.

“Walaupun saya tidak begitu rapat dengan beliau, kehilangan Tembakau tetap dirasai kerana berada dalam industri yang sama,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Penggiat dan Pelukis Komik Malaysia (Pekomik) menerusi laman Facebooknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tembakau menyatakan kehilangannya dirasai dalam arena komik tanah air.

Menurutnya, Tembakau adalah salah seorang penggiat komik yang tidak jemu-jemu membantu dalam menyokong aktiviti PEKOMIK dan arena komik tanah air.

Tembakau pernah menjadi tenaga pengajar Pekomik Classroom dan pemenang Anugerah Pekomik kategori Penulis Komik Terbaik dan Komik Terbaik pada tahun 2012.

Allahyarham Tembakau juga dikatakan dalam proses menulis skrip filem Kartini yang diadaptasi dari novel grafiknya sendiri, yang pertama kali terbit dalam majalah humor Lanun pada 1990-an – berita harian