KOTA BHARU : Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ‘kasihankan’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pelbagai persepsi dilemparkan terhadapnya.

Beliau berkata, pelbagai tafsiran itu dibuat Anwar terlalu kerap mengeluarkan kenyataan mengenai jangka masa atau tarikh tertenttu untuk disahkan menjadi Perdana Menteri ke lapan.

Justeru, beliau menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu supaya lebih baik berdiam diri jika tidak pelbagai tafsiran akan terus dibuat.

“Saya rasa baik dia (Anwar) diam. Kalau dia yakin akan menjadi Perdana Menteri, tunggulah.

“Kalau cakap banyak-banyak, orang tafsir macam-macam, saya kesian juga pada dia,” katanya kepada pemberita sambil tersenyum sinis ketika ditemui pada Majlis Motivasi Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah di sini malam tadi.

Anwar ketika ditemubual Bloomberg berkata, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Bekas timbalan perdana menteri itu, turut dilaporkan berkata, beliau tidak akan terlalu cerewet mengenai tempoh tepat pengambilalihan tersebut.

Sebelum ini, sebagai sebahagian persetujuan sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 pada Mei 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan komitmen bahawa beliau akan memegang jawatan nombor satu negara itu hanya sekitar dua tahun.

– UTUSAN ONLINE