ALOR SETAR: Tokoh akademik veteran yang juga penulis sebuah buku kontroversi, Kassim Ahmad, 84, meninggal dunia di Hospital Kulim 10 pagi tadi.

Anak lelakinya Ahmad Shauqi mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, bapanya yang tidak sedarkan diri sejak semalam itu meninggal dunia akibat antaranya mengalami masalah berkaitan paru-paru.

Jenazah mungkin akan dikebumikan di Kulim selepas solat Asar hari ini ataupun selewat-lewatnya pagi esok, katanya.

Kassim @ Osman Ahmad dimasukkan ke hospital itu pada 16 September lepas bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat serta dilaporkan berada dalam keadaan koma sejak semalam.

Allahyarham terkenal dengan karya ‘Hadis: Satu Penilaian Semula’, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam dan buku itu diharamkan kerajaan pada 1986.

Karya itu juga menyebabkan beliau dianggap sebagai antihadis.

Kassim mengulangi pandangannya dalam buku itu dalam sebuah seminar pada Februari 2014 yang menyebabkan penulis berkenaan diheret ke mahkamah.

Pada seminar ‘Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian – Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” beliau menuduh golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk menerangkan ajaran al-Quran.

Beliau juga berhujah rambut wanita bukanlah sebahagian daripada aurat.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditarik balik.

Beliau turut berjaya mendapatkan pengisytiharan daripada mahkamah sivil yang tindakan Jawi menahan dan mendakwanya sebagai di luar bidang kuasa agensi berkenaan.

— BERNAMA