KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) perlu mempertingkat penguasaan teknologinya supaya seiring perkembangan semasa, termasuk konsep dunia tanpa sempadan, kata Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Ketua Menteri berkata, dengan trend global kini menuju era digitalisasi seiring ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), jabatan itu yang bertanggungjawab mengendalikan hasil percukaian negara, juga harus melakukan transformasi.

“Jika gagal berbuat demikian, Kastam akan ketinggalan dan berada jauh di belakang sebilangan peniaga yang rakus mengaut keuntungan serta mengelak cukai.

“Dengan kemahiran dan kepantasan teknologi, mereka akan sentiasa jauh di hadapan pasukan penguat kuasa bagi meraih keuntungan besar serta cepat, termasuk membelakangkan segala undang-undang dan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pengarah Kastam Se-Malaysia Ke-83 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan Sarawak berkata, golongan mengambil kesempatan mengelak cukai dan melakukan penyeludupan, memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital yang canggih serta terkini.

“Oleh itu, Kastam perlu turut berubah dan mahir menggunakan teknologi sama bagi menyaingi mereka. Ini sahaja cara dapat menyelamatkan sebahagian besar hasil negara,” katanya.

Pada majlis sama, Abang Johari juga menyentuh mengenai pembentukan jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat bagi menangani sempadan Sarawak yang panjang.

“Ia akan melihat keperluan Pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) negeri ini dinaik taraf bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga prasarana teknologi.

“Ini bagi membolehkan petugas sempadan, termasuk pegawai kastam menjalankan kerja dalam suasana kondusif dan cekap,” katanya.

Sebelum ini, Abang Johari antara lain mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi menaik taraf ICQs Sungai Tujuh, Miri, dan mencadangkan pembiayaan bersama membina semula Kompleks ICQs Tebedu, Serian.- Berita Harian