DENGKIL – Jabatan Kastam berjaya menumpaskan penyeludupan rokok seludup dari Vietnam menerusi Pelabuhan Klang, Selangor dengan cukai dianggarkan bernilai RM30.8 juta pada 18 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguat kuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam, Datuk Zulkifli Yahya, bertindak atas maklumat risikan, Unit Siasatan Frod Perdagangan, Cawangan Siasatan Jabatan Kastam, berjaya merampas empat unit kontena 40 kaki disyaki membawa barang belum lulus kastam di kawasan Zon Bebas Yard CT1, Pelabuhan Utara.

“Keempat-empat kontena daripada Vietnam ini telah diikrar sebagai karton beg, raket, kain, selendang, pakaian dalam wanita, beg plastik, langsir, jubah, pakaian kanak-kanak dan makanan ringan,” katanya pada sidang akhbar berhubung kes tersebut di sini semalam.

Jelas beliau, rokok tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan mendapati alamat premis yang digunakan tidak wujud.

“Siasatan akan dijalankan terhadap agen perkapalan dan agen penghantaran dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali dan tidak melebihi 20 kali duti kastam terlibat.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(b) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar ke atas barang import dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE