PENAGIH hilang kawalan hingga sanggup menceroboh pejabat narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, untuk membeli dadah.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari semalam, suspek berusia 38 tahun dan menunggang motosikal ke pejabat berkenaan.

Dia dikatakan meluru masuk ke arah meja anggota bertugas dan memaklumkan hendak membeli syabu dan pil kuda.

Suspek yang juga seorang mekanik memberi alasan kononnya sukar untuk mendapatkan bekalan dadah di luar dan terpaksa ke balai polis untuk membeli stok rampasan yang disimpan di situ bagi melepaskan gian.

“Anggota polis yang bertugas kemudian bertanya kepada suspek sama ada dia sedar kawasan yang dicerobohinya adalah pejabat polis.

“Soalan itu menyebabkan suspek naik angin lalu bertindak agresif dengan memegang kolar baju anggota terbabit dan cuba mengasarinya.

“Anggota terbabit cuma mempertahankan diri dengan menepis tangan suspek dan cuba menahannya, tetapi lelaki itu bertindak lebih agresif bagi mengelak dirinya ditahan,” kata sumber.

Sumber itu berkata, seorang anggota polis yang berada berhampiran pejabat itu menyedari kejadian lalu membantu meleraikan keadaan dan menangkap suspek.

Susulan kejadian, suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali – hmetro