KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan oleh polis di kawasan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta di sini, bertujuan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, berkata ini kerana kawasan kediaman berkenaan mula menjadi tumpuan ramai sejak beberapa hari lalu sebelum pihak polis memperketatkan kawalan.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan arahan kawalan di kawasan itu diadakan 24 jam secara berterusan sehingga keadaan terkawal.

“Kita melaksanakan kawalan ini bukan atas dasar sekatan untuk menghalang pergerakan Datuk Seri Najib, sebaliknya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Tindakan ini juga bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan dan demi ketenteraman awam yang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamed Rafiq berkata, tiada sebarang arahan lain diterima, selain bertindak bagi memberi jaminan dan kawalan keselamatan atas sebarang kemungkinan.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya tiada menerima sebarang maklumat mengenai rancangan melakukan kekecohan dan kekacauan di kediaman Najib, namun sentiasa bersiap sedia mengekalkan ketenteraman awam.

Berdasarkan tinjauan NSTP, sebuah balai polis bergerak ditempatkan di simpang masuk bersama lima anggota polis.

Pemeriksaan dibuat ke atas setiap kenderaan yang ingin memasuki laluan berkenaan.

Pengamal media yang sebelum ini bebas berkumpul untuk membuat liputan di hadapan rumah Najib juga tidak dibenarkan masuk – berita harian