KAMPAR: Jabatan Perikanan Negeri Perak sedang merangka cadangan untuk mewujudkan kawasan konservasi perikanan yang diyakini mampu menjana sumber pendapatan sampingan kepada nelayan serta tidak terhad kepada sumber laut semata-mata.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Perak, Kasim Tawe berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk dijadikan kawasan konservasi.

d354ac6a-08a8-43da-b6b2-6772ef14ef93“Ada beberapa cadangan iaitu di Tasik Temenggor, dan di sebelah selatan pula mungkin di Sungai Klah atau Sungai Bernam.

“Faktor utama dalam pemilihan kawasan adalah berdasarkan kesesuaian tempat dan kesanggupan para nelayan untuk menjaga kawasan tersebut.

“Setelah siap semua persediaan dan kertas kerja, kami akan mengusulkan cadangan ini di peringkat kerajaan negeri,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau ditemui di Program Pengukuhan Nelayan Darat dan Sukarelawan Perikanan daerah Batang Padang di sini, hari ini.

9807ea03-d702-4943-ae30-8a462535e9e5Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Kampung Baru dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon hadir bagi merasmikan majlis dan melepaskan benih ikan lampam di sungai berdekatan.

Seramai 29 orang nelayan darat yang berdaftar dari daerah Batang Padang dan Muallim menerima elaun sara diri berjumlah RM200 pada program tersebut.

Dalam pada itu, Kasim berkata, kawasan konservasi perikanan bukan sesuatu yang baharu kerana telah diguna pakai di negeri lain seperti Terengganu dan Sabah.

“Nelayan sekarang hanya melihat sumber ikan sebagai pendapatan utama tetapi dengan wujudnya konservasi ini, industri hiliran boleh membangun seperti inap desa, eko-pelancongan dan tempat makan,” katanya.

Namun, beliau menambah, cadangan tersebut hanya akan tercapai jika semua pihak, khususnya penduduk sekitar dan nelayan, memainkan peranan menyeluruh.