KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan mendapat kerjasama yang baik dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji semula kawasan merokok yang sebelum ini ditetapkan tiga meter dari premis makanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah berbincang dengan rakan sejawatnya, Zuraida Kamaruddin agar memastikan tempat merokok mengikut peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinilai semula.

“Saya mendapat kerjasama dengan Menteri KPKT, dan dalam Kabinet pun kita ada berbincang mengenai hal ini.

“Kita tahu KPKT melalui PBT telah menyediakan tempat merokok di luar premis sekitar sejauh tiga meter atau 10 kaki, ia suatu yang dianggap tempat mesra perokok.

“Dari segi kesihatan, ia juga kurang baik kepada yang bukan perokok, yang tentunya apabila berada di kedai makan, mereka tidak mahu diganggu oleh asap rokok,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Speak Out: Express Your Right di Stesen Komuter di KL Sentral di sini, hari ini.

Sebelum itu, Dr. Dzulkefly bersama pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) menaiki komuter dari Stesen Komuter Bandar Tasik Selatan ke Stesen KL Sentral.

Sepanjang perjalanan 15 minit itu, beliau beramah mesra dengan penumpang komuter dan bertanyakan mereka mengenai kempen Speak Out.

Menjawab soalan wartawan, Dr. Dzulkefly tidak menolak kemungkinan kawasan merokok yang disediakan oleh PBT kepada premis makanan akan dihentikan.

“Mungkin saya akan hentikan juga. Saya dan Zuraida akan berbincang bagaimana memastikan tidak ada langsung tempat merokok, baik pada jarak tiga meter yang dibenarkan sebelum ini,” katanya.