PADANG BESAR: Sebarang aktiviti berbasikal secara berkumpulan atau konvoi dalam jumlah yang ramai di negeri ini perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Malah tegas Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad, aktiviti berbasikal di jalan-jalan utama itu juga perlu dalam keadaan sebaris dengan tidak berpecah di laluan-laluan berasingan.

“Di Perlis, kita sudah kuat kuasa melalui JSPT (Jabatan Siasatan Penguat kuasa Trafik) iaitu memastikan kalau hendak berbasikal mesti dalam satu baris, tidak boleh ada dua atau lebih. 

“Pastikan ikut SOP (prosedur operasi standard) apabila menyertai aktiviti itu (basikal). Tidak boleh secara kelompok ramai-ramai. Di Perlis, kalau kita nampak aktiviti berhimpun menaiki basikal tindakan akan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ketua Polis Perlis bersama komuniti Felda Mata Ayer dan Rimba Mas di Felda Mata Ayer di sini hari ini.

Tambah Surina, selepas menerima permohonan, pihaknya akan melihat kesesuaian sama ada membenarkan atau sebaliknya aktiviti kayuhan beramai-ramai itu.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai keperluan setiap basikal di negara ini didaftar dan dilesenkan, Surina berkata, pihak MIROS mungkin ada pertimbangan tertentu apabila mengemukakan cadangan tersebut.

“Saya tidak mahu ulas panjang mengenai cadangan tersebut, biar MIROS lihat keperluan mengenai cadangan itu,” katanya. – UTUSAN