TAPAH: Hujan renyai-renyai seawal jam 9 pagi tidak menghalang lebih 100 orang peserta Program Komuniti Sejahtera Kayuhan Santai anjuran Kemas Batang Padang di sini untuk meneruskan aktiviti berbasikal.

Program dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan itu turut menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk penduduk setempat.

Menurut Samsudin, aktviti berbasikal itu dilaksankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Objektif utama program ini bukan sekadar berbasikal tetapi mewujudkan semangat kekitaan di antara jabatan dengan orang awam mesti terjalim walau dalam apa jua keadaan.

“Kita telah memberi peringatan kepada peserta tentang wabak Covid-19, sentiasa jaga penjarakan fizikal sepanjang program berlangsung,”katanya.

Dia bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas Malaysia, Ahmad Kamal Idris Nawawi yang turut serta dalam program itu berkata kayuhan itu merupakan sebahagian aktiviti yang dirangka pihaknya untuk mendekati anggota masyarakat di setiap negeri.

“Matlamat utama adalah untuk merapatkan hubungan dengan pihak jabatan bersama dengan masyarakat dan turut membabitkan pemimpin setempat.

“Setakat ini kita sudah laksanakan program di beberapa negeri selain Perak, seperti Pahang, Sabah dan Selangor, antara aktivitinya seperti berbasikal,berakit dan lain-lain.

“Setiap negeri berbeza pelaksanaan program dan mengikut kesesuaian tetapi matlamatnya sama untuk menyatukan semua,”katanya.